Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons kekal sebagai pasukan tunggal yang tidak pernah kalah dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini.

Dalam perlawanan kelima menentang KB Serdang di Cyberjaya hari ini, anak buah Tan Bin Shen terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam liga apabila menang 9-6 mengatasi lawan mereka, KB Serdang.

Dalam kategori perseorangan lelaki, KB Serdang terlebih dahulu menemui mata kemenangan apabila pemainnya, Xu Yiming, dari China garang menewaskan pemain KB Bandar Utama Dragons, Tam Chun Hei, 11-3, 11-5, 11-2 (3-0).

Selepas itu, pemain dari Hong Kong, Yip Pui Yin, kembali memberikan mata kemenangan buat pasukan KB Bandar Utama Dragons. Dia yang berhadapan Shen Yabing menumpaskan lawannya 11-6, 11-3, 11-5 (3-0).

Pertarungan beregu lelaki selepas itu menyaksikan Chow Pak Chuu-Mak Hee Chun kembali meletakkan KB Bandar Utama Dragons di hadapan apabila mudah membenam pasangan KB Serdang, Ong Wei Khoon-Ou Xuanyi.

KB Bandar Utama Dragons menang dengan kiraan 11-9, 11-8, 11-1 (3-0).

Lai Pei Jing-Tan Kian Meng terus mengukuhkan pungutan mata KB Bandar Utama Dragons dalam kategori beregu campuran. Mereka menang 11-7, 11-6, 11-4 (3-0) mengatasi pasangan Lee Chun Hei-Lim Jee Lynn yang mewakili KB Serdang.

Pemain remaja nombor dua dunia, Lee Zii Jia, berjaya mencuri mata buat KB Serdang dalam kategori perseorangan lelaki terakhir apabila mengatasi Mek Narongrit dari KB Bandar Utama Dragons 11-7, 11-9, 11-10 (3-0).

Namun, kemenangan Zii Jia tidak mengubah kemenangan mutlak KB Bandar Utama Dragons.

Bagi Bin Shen, pasukannya kini sudah bersedia untuk ke pusingan kalah mati berdasarkan prestasi semasa pasukan.

"Saya berasakan kami berada di landasan yang baik untuk menjadi juara peringkat round robin ini. Walaupun kami menang, sebenarnya beza mata tidaklah begitu ketara.

"Jadi di peringkat kalah mati nanti, saya harap kami dapat kekalkan aksi konsisten, tidak keciciran mata, sekaligus menjadi juara SSPL.

“Memandangkan format SSPL di mana pasukan yang mengumpulkan mata kemenangan terbanyak maka pasukan itu berada di atas, jadi saya harap kami akan dapat mengumpul lebih banyak mata dalam baki empat perlawanan liga."

KB Bandar Utama Dragons kini berada di kedudukan keempat peringkat round robin. Pasukan di kedudukan enam terbaik akan bersaing dalam peringkat kalah mati yang bakal berlangsung di Genting Highlands, Februari nanti.