Kelab Badminton (BC) Petaling terus garang dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini. Dalam aksi keempat mereka di Gem In Mall hari ini, pasukan itu mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 13-7 untuk melonjak ke tangga pertama liga dengan 45 mata kemenangan.

Penampilan pertama pemain kebangsaan, Goh V Shem, turut menjadi kunci kemenangan kem Petaling BC setelah gandingan mantapnya bersama Man Wei Chong menghadirkan mata kemenangan buat pasukan itu.

V Shem berkata, “Biarpun turun kali pertama musim ini, saya gembira berpasangan dengan Man Wei Chong untuk membantu Petaling BC mendapat mata kemenangan tadi. Kami berjaya mengelak untuk melakukan kesilapan mudah ketika bermain dan ia menyukarkan lawan kami.”

“Petaling BC semakin kuat musim ini dengan kemasukan beberapa pemain ternama, ditambah dengan pemain junior yang kini semakin mantap. Jadi, kami mengharapkan Petaling BC akan mendapat keputusan lebih baik dalam saingan SSPL musim ini,” kata V Shem.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Yee Han merakamkan kemenangan untuk meletakkan Petaling BC mendahului setelah dia mengatasi wakil BMASBC, Riyanto Subagja, 3-1 (8-11, 11-7, 11-7, 1-6).

Pungutan mata kemenangan Petaling BC bertambah selepas mereka terus menguasai acara perseorangan wanita. Kali ini, Yulia Yosephine Susanto menang 3-1 (9-11, 11-9, 11-7, 11-10) ke atas Lim Jing Ning untuk menjarakkan kedudukan menjadi 6-2.

V Shem yang bergandingan dengan Wei Chong dalam acara beregu lelaki menambah lagi mata buat Petaling BC. Mereka beraksi mantap untuk menang mudah 3-0 (11-2, 11-6, 11-7) menewaskan pemain BMASBC, Chua Yue Chern-Sim Fong Hau. Kemenangan itu semakin membuatkan Petaling BC selesa mendahului 9-2.

BMASBC berjaya bangkit meraih mata dalam acara beregu campuran apabila pasangan Agrippina Prima Rahmanto- Jin Yujia mengejutkan pasangan Petaling BC, Terry Hee Yong Kai-Lai Pei Jing 3-1 (8-11 11-9 11-10 11-10) merapatkan kutipan mata keseluruhan kepada 10-5.

Cheam June Wei yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki terus melebarkan jurang mata buat Petaling BC apabila dia menang 3-2 (7-11, 11-8, 2-11, 11-5, 11-9) ke atas wakil BMASBC dari Perancis, Lucas Corvee.