SSPL : Final ulangan milik Puchong United BC

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2018 594
SSPL : Final ulangan milik Puchong United BC
Aksi keempat SS Purple League (SSPL) 2018/19 yang mempertemukan dua finalis SSPL musim lalu menyaksikan Kelab Badminton (BC) Puchong United mengulangi kejayaan sama dengan mengatasi Kepong BC 11-8 di Gem In Mall, malam tadi.

Kepong BC memulakan aksi dengan kemenangan melalui pemain perseorangan lelaki mereka, Lim Chi Wing, yang menewaskan Goh Giap Chin 3-0 (11-4, 11-7, 11-5).

Bagaimanapun, Puchong United BC tidak memberikan laluan mudah dan mereka pantas bangkit semula dalam acara perseorangan wanita melalui Ho Yen Mei yang mengatasi Yeung Sum Yee 3-1 (11-6, 11-9, 1-11, 11-9).

Dalam acara beregu lelaki, Tan Boon Heong-Teo Ee Yi kembali meletakkan Puchong United BC mendahului 6-5 setelah gandingan itu mengatasi pasangan ranking ke-26 dunia dari Chinese Taipei yang beraksi bersama Kepong BC, Lu Ching Yao-Yang Po Han 3-1 (11-6, 11-8, 10-11, 8-6).

Gandingan Tang Chun Man-Goh Liu Ying yang tampil dalam beregu campuran menjarakkan lagi mata kemenangan Puchong United BC susulan kejayaan mengatasi Mohd Arif Abdul Latif-Cheah Yee See 3-1 (11-4, 8-11, 11-10, 11-4) untuk membolehkan Puchong United BC semakin selesa mendahului 9-6.

Satu lagi acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain Puchong United BC dari Hong Kong yang juga pemain ranking ke-36 dunia, Lee Cheuk Yiu, mengakhiri aksi dengan keputusan seri 2-2 (11-5, 10-11, 11-8, 9-10) menentang Soong Joo Ven, namun tidak menggugat kemenangan juara bertahan itu dalam “final ulangan” malam tadi.

Pengurus Puchong United BC, Irina Inozemtseva, yang ditemui selepas perlawanan berkata: “Kami gagal mengutip banyak mata kemenangan biarpun menang. Agak rugi membiarkan lawan mencuri banyak mata tadi.

“Tiga baki aksi di peringkat pertama selepas ini, kami akan berjumpa Serdang BC, Bandar Maharani BC dan Petaling BC. Bukan tugas mudah kerana kami menyasarkan dua kedudukan teratas liga, jadi perlu mengkaji semula video pihak lawan."

Sementara itu, dalam aksi petang semalam, Ampang Jaya BC turut mengukuhkan lagi kutipan mata kemenangan dalam saingan SSPL setelah mengatasi Tebrau City BC 10-9 dalam aksi keempat mereka di venue sama.

Kemenangan yang dicapai itu adalah yang keempat berturut-turut diraih Ampang Jaya BC musim ini setelah mereka menang 10-9 ke atas Petaling BC, 11-9 menewaskan Kepong BC dan satu lagi kemenangan 9-6 ke atas Puchong United BC. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen