Ampang Jaya BC mengukuhkan kutipan mata kemenangan dalam saingan SS Purple League (SSPL) selepas mengatasi Tebrau City BC 10-9 di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kemenangan itu adalah yang keempat berturut-turut buat pasukan itu selepas mereka menewaskan Petaling BC 10-9, Kepong BC 11-9 dan kemenangan 9-6 ke atas Puchong United.

Ia sekali gus membawa pasukan itu berada dalam kelompok atasan liga.

Dalam aksi di Gem In Mall itu, Tebrau City BC terlebih dahulu memberikan kejutan dalam acara perseorangan lelaki menerusi Ye Binghong yang menundukkan Tan Jia Wei 3-2 (11-5, 3-11, 8-11, 11-7, 10-6) dalam masa 30 minit.

Tebrau City mengekalkan rentak itu dalam acara perseorangan wanita apabila Xu Wei mengatasi Nurul Ghaida Ghaniyu 3-0 (11-10, 11-10, 11-6) untuk menjarakkan kedudukan keseluruhan kepada 6-2.

Acara beregu lelaki turut dikuasai oleh gandingan Tebrau City, Boonsak Polsana-Peeranat Boontun.

Mereka menewaskan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 3-2 (2-11, 11-7, 11-5, 10-11, 11-9) untuk Tebrau City mendahului 9-4.

Chan Peng Soon-Shevon Lai Jemie merapatkan kedudukan kepada 7-9 selepas meraih kemenangan dalam acara beregu campuran dengan mengatasi Pearly Tan-Tan Wee Gieen 3-0 (11-8, 11-10, 11-8).

Pemain negara, Lee Zii Jia, mengesahkan kemenangan 10-9 buat pasukan Ampang Jaya BC selepas menumpaskan R. Satheishtharan 3-0 (11-5, 11-3, 11-6).

Mengulas mengenai kejayaan itu, Zii Jia berkata: "Memang ada tekanan kerana saya perlu menang 3-0 untuk mengesahkan kemenangan kami.

"Saya berpesan kepada diri sendiri supaya tidak terlalu tertekan dan bermain seperti biasa.

"Ia memberikan kepuasan selepas berjaya membantu Ampang Jaya BC meraih kemenangan."

Jadual SSPL, Sabtu (29 Disember 2018)
4:00 ptg: Bukit Mertajam All Stars BC lwn Petaling BC
8:00 mlm: Serdang BC lwn Bandar Maharani BC