Pasukan dari selatan tanah air, Kelab Badminton (KB) Muar, optimis untuk memburu kejuaraan SS Purple League 2016/17 meskipun sedar mereka bakal berhadapan dengan tugas getir dengan persiapan hebat daripada semua pasukan.

Menurut Penolong Pengurus KB Muar, Aaron Lee Inbaraj, banyak pasukan yang telah bersedia dengan mengikat pemain berkualiti dalam saingan SSPL musim ini, namun masih percaya dengan kemampuan pemain yang telah diikat kelab itu untuk saingan nanti.

“Ia adalah satu tekanan untuk memburu kejuaraan kerana pasukan lain pastinya mahu mengalahkan kami dan semua pasukan mempunyai pemain yang bagus. Apa pun, kami akan tunjukkan aksi terbaik dalam usaha untuk mencari kejuaraan pada musim ini.

“Target kami memang untuk mengejar kejuaraan kali ini. Persediaan pun sudah dilakukan sejak awal lagi untuk memantapkan KB Muar, jadi kami akan cuba yang terbaik untuk menjadi juara SSPL musim ini”, ujar bekas pemain badminton Pulau Pinang itu.

Mengulas mengenai pemain-pemain dalam pasukannya, Aaron berkata pasukan itu adalah terdiri daripada kebanyakan pemain yang menjulang KB Muar City dalam Purple League musim lepas di samping beberapa muka baru yang menyertai skuad kali ini.

“Dari segi pemain, Zulfadli Zulkifli adalah pemain yang turut bersama kami kali ini, ditambah pemain-pemain sama yang masih kekal (dari KB Muar City) seperti Tan Chun Seang, Tan Boon Heong dan Lee Hyun Il.

"Jadi, saya harap keserasian mereka lebih baik pada musim ini, sekaligus membawa kejayaan pasukan ini.

“Saya juga harap kami dapat kekalkan prestasi sepanjang liga memandangkan pasukan-pasukan lain juga pastinya sudah tahu kelebihan kami di samping mereka juga melakukan persiapan rapi untuk saingan liga nanti,” tambah Aaron lagi.

Selain itu, Aaron juga mengakui bahawa kekuatan yang dimiliki oleh pasukan-pasukan lain yang bertanding dalam SSPL adalah seimbang dan pasukan seperti KB Petaling mampu menggugat pasukannya untuk mendapatkan kejuaraan nanti.

“Saya rasa pasukan lawan seperti KB Petaling yang juga merupakan lawan pertama kami nanti merupakan antara pasukan kuat pada musim ini. Mereka ada ramai pemain bagus dan berpengalaman seperti Datuk Wira Lee Chong Wei, Liew Daren dan lain-lain pemain hebat.

Selain itu, pasukan-pasukan lain juga melakukan persiapan yang cukup baik untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti, jadi kami perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan,” kata penolong pengurus berumur 33 tahun itu.

Antara pemain hebat yang bakal menyertai saingan SS Purple League kali ini adalah Sony Dwi Kuncoro, Koo Kien Kiet (KB Petaling Jaya), Goh V Shem (KB Petaling), Chou Tien Chen, Goh Liu Ying (KB Puchong United), Tan Wee Kiong (KB Bandar Utama Dragons), Tan Boon Heong, Chan Peng Soon (KB Muar), Hafiz Hashim (KB Kepong), Nitchaon Jindapol (KB Ampang Jaya) dan ramai lagi pemain terkenal dunia.

Saingan peringkat liga round robin SSPL 2016/17 akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras dari 2 hingga 8 Januari.

Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 13 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.