Ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, meminta sedikit lagi masa untuk melakukan penilaian lebih mendalam terhadap beberapa calon pengganti Jeremy Gan sebelum menghantar nama kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Soon Kit masih belum menghantar nama calon kepada badan induk itu kerana enggan terburu-buru membuat pemilihan sambil mengakui dirinya mementingkan keserasian.

Dia masih ingin mengenal pasti dan menilai beberapa individu yang akan membantunya dan cuba menghantar cadangan nama itu sebelum Kejohanan Terbuka Denmark yang akan bermula 17 Oktober ini.

Bagaimanapun, Soon Kit tidak menolak sudah ada beberapa nama yang akan dipertimbangkan bagi menggantikan Jeremy, namun tidak mahu mendedahkan lagi identiti calon berkenaan.

"Saya akan cuba hantar dengan secepat mungkin dan selepas itu perlu diadakan perbincagan dengan pengurus besar dulu atau dengan presiden untuk melihat bagaimana," katanya.

Dalam masa sama, Soon Kit lega melihat keserasian yang dibentuk daripada gandingan Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Goh V Shem bertambah baik selepas dua minggu berlatih bersama.

Tegasnya, gandingan baru tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka gagal menyerlah dalam Terbuka Perancis bermula 24 Oktober ini.

"Sudah tentu, sasaran perlu selalu ada dan saya sudah berbincang dengan mereka. Mereka mesti mempunyai hasrat yang tinggi. Tiada sebab, kerana gandingan baru kita akan relaks. Mereka harus fokus," katanya lagi.