Ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, lebih rela melihat kepada aspek realiti berbanding menawarkan janji manis menjelang ujian pertama dua gandingan elit Malaysia dalam Terbuka Perancis.

Selepas hampir sebulan digandingkan, pasangan Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin akan memulakan cabaran sulung dalam saingan Siri Super Terbuka Perancis, minggu depan.

V Shem-Ee Yi dijadualkan bertemu pasangan Hong Kong dalam pusingan pertama sementara lawan dari Jerman menanti Wee Kiong-Yew Sin, sekaligus membuatkan Soon Kit menyifatkan ia bakal muncul sebagai kejutan bersifat positif atau sebaliknya daripada anak-anak buahnya itu.

“Saya juga mengharapkan kejutan daripada mereka tetapi buat masa sekarang, tiada tekanan buat mereka kerana mereka masih baru.

"Saya hanya mengingatkan mereka agar membuktikan kebolehan masing-masing,” kata Soon Kit.

Kehadiran dua beregu baru itu bukan sahaja sesuatu yang mengujakan buat peminat badminton tanah air tetapi memberikan debaran buat barisan beregu terbaik dunia yang sudah tentu mahu melihat sama ada mereka mampu memberikan cabaran sebenar.

“Pasangan baru, jadi permainan mungkin agak berlainan. Jadi, ia mungkin boleh jadi kelebihan atau kelemahan buat Malaysia,” katanya lagi.