Soon Huat buru slot ke Guangzhou 

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 206
Soon Huat buru slot ke Guangzhou 
Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, sedia melakukan apa sahaja untuk memastikan dia serta pasangan beregunya, Shevon Jamie Lai, membuat penampilan pertama dalam Kejohanan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou, China, Disember depan.

Soon Huat kini melalui fasa terbaik dalam karier badmintonnya sejak beralih ke kategori beregu campuran daripada perseorangan lelaki pada 2016.

Dia cuba melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia BWF, saingan yang dahulunya dikenali sebagai Kejohanan Akhir Siri Super Dubai.

Untuk layak, hanya lapan pemain terbaik daripada setiap acara akan terpilih sementara Sooh Huat bersama Shevon kini berada di kedudukan keempat dalam perebutan slot itu.

"Saya harap dapat layak. Ini kerana sejak beralih ke acara beregu campuran, saya belum pernah layak ke Kejohanan Dunia.

"Ia satu medan yang berbeza daripada kancah Siri Super," ujarnya. 

Sungguhpun begitu, dia tetap mahu berusaha mengekalkan kedudukan itu sehingga Disember nanti sambil berusaha mencari mata ranking sebanyak mungkin bagi mengukuhkan kedudukan.

Destinasi seterusnya buat mereka adalah Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.

"Kami perlu mara ke suku akhir dalam kedua-dua kejohanan tersebut barulah boleh memungut mata kelayakan ke Guangzhou," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen