Skuad badminton perseorangan wanita kebangsaan kini sedang melalui proses perebutan yang hangat untuk mendapatkan tempat ke Sukan Komanwel Gold Coast Australia 2018.

Hanya satu slot diperuntukkan buat Malaysia, sekaligus membuatkan empat pemain yang berada dalam senarai awal ke Gold Coast iaitu Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei dan Lee Ying Ying tidak senang duduk.

Seperti edisi terdahulu, Malaysia akan membentuk pasukan keseluruhan daripada lima wakil wanita dan lima wakil lelaki, termasuk keutamaan dalam senarai wakil wanita lazimnya diberikan kepada prospek pingat seperti beregu dan beregu campuran.

"Oleh kerana Sukan Komanwel adalah kejohanan besar, jadi penyertaan yang terhad adalah sudah dijangkakan. Saya berharap saya boleh berada dalam skuad kerana saya tidak pernah bermain dalam Sukan Komanwel sebelum ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jurulatih dan pengurusan," kata Soniia.

Meskipun Soniia menegaskan mahu membuat penampilan di Gold Coast, dia akur keputusan yang dibuat selepas ini adalah untuk kebaikan skuad negara yang perlu mempertahankan emas bepasukan campuran disamping beregu wanita dan beregu lelaki.

"Saya fikir ia bergantung kepada pihak pengurusan kerana kami memerlukan pasukan yang kuat. Tidak kesah bahagian mana yang memiliki lebih slot tetapi kami pergi sebagai satu pasukan. Kami perlu mempersiapkan diri untuk bermain dalam kejohanan ini."

Sebelum ini, pencapaian terbaik perseorangan wanita di pentas Sukan Komanwel dicatat oleh Sylvia Ng pada tahun 1978, selepas meraih emas di Edmonton, Kanada.