Soniia Cheah melihat 2019 sebagai tahun merampas kembali status perseorangan badminton wanita nombor satu negara ketika dia dicabar hebat dua rakan muda, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying.

Kemas kini ranking terakhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini menyaksikan Jin Wei menamatkan musim sebagai pemain nombor satu negara di kedudukan ke-27 dunia.

Soniia pula di belakang Jin Wei dengan menghuni ranking ke-31 dunia dan lapan anak tangga di atas Ying Ying.

Tiga pemain itu dicanang sebagai perseorangan wanita negara yang akan memburu dua tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya hanya mahu memberikan fokus untuk memperbaiki prestasi saya.

"Ia kerana saya benar-benar mahu beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Antara kejohanan tumpuan bulan depan adalah Masters Malaysia yang menampilkan Soniia, Jin Wei dan Ying Ying dalam pusingan utama kejohanan itu.

"Saya tidak beraksi baik dalam Masters Malaysia musim ini.

"Saya berharap untuk mara lebih jauh dalam edisi 2019," tambahnya.