Skuad badminton remaja negara meletakkan misi memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila kembali membuat perhitungan dalam Kejohanan Remaja Dunia di Jogjakarta, Indonesia, Isnin depan.

Tahun lalu di Bilbao, Sepanyol, skuad remaja negara pulang hampa selepas beberapa sandaran utama tewas di peringkat awal saingan manakala acara berpasukan meraih gelaran naib johan apabila tumpas kepada China dalam perlawanan akhir.

Jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng, turut melakukan beberapa perubahan kali ini selepas M. Thinaah, Lee Zii Jia mahupun Ameer Saidin sudah melebihi had umur yang ditetapkan.

"Pemain remaja negara mempunyai peluang untuk memenangi gelaran dalam Kejohanan Remaja Dunia.

"Yang penting, semuanya bergantung kepada prestasi mereka sendiri. Kalau mereka mampu melakukannya, mereka akan menang," kata jurulatih itu.

Malaysia bakal turun dengan kehadiran juara perseorangan lelaki remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, yang diletakkan sebagai sandaran utama kem Malaysia.

"Tekanan itu tetap ada, kami cuma perlu bijak menanganinya.

"Saya menyasarkan untuk mara ke separuh akhir sebelum memikirkan untuk bergelar juara," katanya.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, bakal membuat penampilan kelimanya di pentas itu selain mahu melupakan episod hitam sebagaimana yang dilaluinya tahun lalu yang menyaksikan bekas juara remaja dunia 2015 itu tersingkir kepada pemain Jepun, Natsuki Oie, 10-21, 21-16, 21-16.

"Saya tidak meletakkan jangkaan tinggi. Setiap tahun pasti lawan juga berbeza.

"Semua pemain mempunyai peluang seimbang," kata Jin Wei.