Era skuad perseorangan wanita di bawah kendalian ketua jurulatih, Tey Seu Bock, sudah mula menampakkan masa depan yang cerah dalam mengelak daripada kebergantungan kepada bintang utama seperti Goh Jin Wei dan Soniia Cheah.

Sewaktu saingan Siri Antarabangsa Terbuka Malaysia berlangsung di Putrajaya minggu lalu, Seu Bock menuntut perubahan perwatakan daripada anak buahnya ketika beraksi di dalam gelanggang.

Amanat daripada jurulatih itu membuahkan hasil apabila dua pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lee Ying Ying dan S. Kisona, mencongak perhitungan dalam final.

Persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh Kisona dan Ying Ying dilihat sebagai permulaan baik dalam usaha skuad perseorangan wanita untuk mengelak daripada dibelenggu masalah sama seperti perseorangan lelaki yang hanya memandang kepada Datuk Lee Chong Wei sehingga hari ini.

"Saya sangat mementingkan keputusan dalam kejohanan. Selain itu, saya juga melihat kepada aspek motivasi serta kemahuan pemain untuk melakar kejayaan," kata Seu Bock.

Final menyaksikan Kisona bangkit selepas tewas set pertama untuk mengatasi Ying Ying dalam pertembungan tiga set.

Seu Bock berasakan Kisona yang dicanang sebagai prospek masa depan negara perlu lebih yakin di dalam gelanggang jika mahu memenuhi potensi.

"Kebanyakan pemain kami mampu bermain dengan baik. Tetapi apabila melangkah masuk dalam kejohanan, tekanan mental menguasai diri dan ia harus diperbaiki pada masa akan datang."