Skuad perseorangan lelaki masih merupakan sebuah keluarga di sebalik pengasingan tugas membabitkan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, dan Hendrawan.

Itu sentimen yang dizahirkan perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang kini di bawah seliaan Hendrawan.

Dia diklasifikasikan dalam kelompok skuad senior di samping Soong Joo Ven, Cheam Jun Wei dan Lim Chong King.

Begitupun, dia berpandangan pengaruh Misbun masih penting untuk pembentukan kerjaya mereka.

"Bagi saya, perubahan ini tidak memberi kesan kepada saya kerana kami sebuah pasukan.

"Itu hanyalah setakat senarai nama di atas kerja sahaja kerana Misbun dan Hendrawan pasti akan terus bantu saya.

"Semua pemain saling bekerjasama dan yang penting, kami meraih pencapaian lebih baik lagi," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sebagai pemain pada era berbeza badminton dunia, kemahuan untuk muncul yang terbaik itu perlu terbit daripada atlet sendiri selain program yang disediakan jurulatih.

"Semuanya terpulang kepada pemain itu sendiri.

"Kami sudah matang dan setiap pemain sedar dengan keperluan masing-masing.

"Di peringkat kami ini, tiada gunanya untuk jurulatih terus mendesak," katanya.