Skuad negara mulakan kem latihan di Jepun

Oleh Staff Writer 22 Disember 2019 425
Skuad negara mulakan kem latihan di Jepun
Kerja keras skuad badminton negara diketuai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, menghadapi musim 2020 secara rasmi bermula dengan kem latihan pusat selama tujuh hari di Ehime, Jepun menjelang Kejohanan Masters Malaysia yang bakal membuka tirai 7 Januari ini.

Sejurus selepas tamat kempen Sukan SEA Filipina, skuad kebangsaan diberi pelepasan menikmati rehat hujung musim.

Zii Jia yang memenangi pingat emas perseorangan lelaki tidak terkecuali memanfaatkan cuti dengan meluangkan masa bersama keluarga di Alor Setar, Kedah.

Perseorangan berusia 21 tahun itu mengetuai skuad senior seramai 20 orang ke Ehime, awal pagi hari ini untuk menjalani kem latihan pusat pramusim.

"Kami perlu ke Jepun untuk memberikan tumpuan kepada latihan serta mempertingkatkan lagi tahap kecergasan. Saya berasakan cuti sudah cukup dan perlu kembali mendapatkan semula tahap terbaik bagi menghadapi musim 2020," katanya.

Undian Masters Malaysia menyaksikan Zii Jia akan berdepan ujian getir bermula dengan cabaran daripada bintang meningkat naik Denmark, Anders Antonsen.

Berada dalam kelompok undian Zii Jia adalah pemain terbaik dunia, termasuk legenda China, Lin Dan, serta pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

"Saya sudah membuat persediaan untuk menghadapi musim depan kerana setiap pesaing akan berusaha mengejar mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen