Cabaran negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2018 berakhir selepas dua pasangan beregu campuran tewas kepada lawan masing-masing dalam suku akhir di Odense, Denmark semalam.

Beregu pilihan keenam, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dikalahkan oleh pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 14-21, 21-17, 12-21, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Satu lagi pasangan beregu, pilihan ketujuh, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, tewas 14-21, 11-21 kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dalam lapan perlawanan terakhir.

Kempen negara dalam perseorangan dan beregu lelaki serta pasangan beregu wanita hambar pada pusingan awal.

Malaysia tidak menghantar wakil ke Kejohanan Jelajah Dunia BWF berstatus Super 750 yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak ASD775,000 (RM3.220 juta).

-- BERNAMA