Skuad badminton negara tiada masalah dengan lanjutan kem latihan berpusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang berkuat kuasa sehingga 9 November depan.

Begitupun, ia memaksa Kejohanan Berpasukan Campuran Dalaman, yang bakal menghimpunkan pemain terbaik senior dan remaja kebangsaan menerusi penampilan empat pasukan itu, sepatutnya membuka tirai awal bulan depan terpaksa ditunda.

Bagaimanapun, bintang negara seperti perseorangan lelaki nombor satu, Lee Zii Jia, beregu utama, Aaron Chia, serta bintang meningkat naik perseorangan wanita, S. Kisona, perlu menunggu lebih lama untuk kembali beraksi.

Berdasarkan apa yang dikongsi Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann, bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebenarnya sudah merancang untuk menutup pergerakan akademi mereka hingga hujung bulan ini.

Itu sebelum Kerajaan Malaysia mengumumkan memanjangkan PKPB semalam.

"Kami akur dengan lanjutan PKPB, pemain sedar ia demi kebaikan mereka sendiri.

"Kami juga tidak membenarkan atlet bergerak dengan sewenang-wenangnya.

"Kami perlu bantu diri sendiri dan orang lain," katanya di Bukit Kiara hari ini.

Meskipun pemain kekal profesional untuk meneruskan tanggungajwab kepada sukan Malaysia, di penghujung harinya mereka juga manusia.

"Ini bukan satu situasi yang boleh dikawal. Ya, tekanan mental memang ada sebab terkurung di BAM sejak sekian lama.

"Kami sukar untuk melepaskan tekanan. Apa yang kami hadapi setiap hari adalah sama -- bilik, gelanggang dan gimnasium.

"Ada harinya kami akan berasa tertekan dan inilah situasi yang perlu diatasi," katanya perseorangan wanita negara, Soniia Cheah.