Menamatkan kemarau enam tahun kejuaraan Siri Super pada 2018 adalah penanda aras peningkatan skuad beregu campuran dan telah mendapatkan suntikan pengalaman apabila menjalani latihan bersama raja Siri Super, Datuk Lee Chong Wei.

Kali terakhir skuad beregu campuran menempah kejayaan di pentas Siri Super adalah menerusi Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dalam Terbuka Jepun pada 2012.

Kembalinya Peng Soon dan Liu Ying untuk berganding semula bagi musim 2018 sudah pasti mencerahkan peluang untuk mencapai misi ini.

Tetapi terbit juga keperluan buat gandingan seperti Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie memecah kebuntuan di pentas tertinggi dunia.

"Beraksi dalam saingan Siri Super, ia akan menguji ketahanan fizikal, mental dan kecergasan. Ia merupakan satu saingan yang sukar untuk meraih mata," kata jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

Kehadiran Chong Wei berlatih bersama skuad beregu campuran berupaya menghadirkan impak luar biasa, bukan sahaja kepada pemain senior, malah pemain meningkat naik seperti Chen Tang Jie, Hoo Pang Ron, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei.

"Chong Wei berkongsi pengalamannya dengan pemain-pemain muda, terutama mereka yang tidak memiliki tahap keyakinan yang tinggi.

"Saya sangat gembira dengan kehadirannya kerana sebagai pemain berpengalaman dalam kejohanan Siri Super, ia akan membantu membuka minda pemain-pemain untuk lebih tenang menghadapi saingan ini," tambahnya.