Siri Super Final: Axelsen buktikan kejaguhan 

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2017 14093
 Siri Super Final: Axelsen buktikan kejaguhan 
Victor Axelsen membuktikan kemampuannya sebagai jaguh dunia masa kini apabila membenam pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, dalam perlawanan akhir Siri Super Final di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai, sebentar tadi. 

Pemain muda Denmark itu yang menggenggam gelaran juara dunia di Glasgow mempamerkan aksi pembukaan yang meyakinkan dengan dua mata awal yang terhasil daripada pukulan tajam. 

Langkah Axelsen untuk mempertahankan kejuaraan dalam final ketiganya di Dubai bagaimanapun tidak dibiarkan mudah oleh Chong Wei yang tampil dengan imej selaku pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik.

Chong Wei bagaimanapun tidak mudah mengalah dan terus mengekori rapat dalam kutipan mata dan berkesempatan untuk memintas Axelsen apabila kedudukan terikat 19-19 sebelum Chong Wei merampas set pertama, 21-19.

Begitupun, pemain berusia 23 tahun itu memperkemaskan permainannya untuk mengemudi pertarungan dalam set kedua, 19-14, biarpun hampir membenarkan kebangkitan lewat Chong Wei untuk mengheret pertarungan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19.

Aksi permulaan set ketiga berlangsung dramatik apabila kedua-dua pemain tidak membenarkan mata mudah buat lawan. Faktor usia menjadi kelebihan Axelsen apabila mula menjarakkan kedudukan dan mematahkan gerakan-gerakan berbahaya seterunya yang berada di ranking nombor dua dunia itu. 

Ketika mendahului 19-15, dia mematikan usaha Chong Wei yang memungut tiga mata berturut-turut untuk menutup saingan musim 2017 dengan noktah cemerlang menerusi kemenangan 21-15. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen