Saingan Siri Super Final Dubai bukan sahaja menawarkan suasana menakjubkan buat pemain yang layak beraksi di pentas penutup tirai bagi badminton elit untuk musim 2016, tetapi pengalaman mengujakan buat peminat badminton sedunia samada yang menonton di rumah atau yang menjadi sebahagian daripada penyokong di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai.

Selepas mengharungi musim yang cukup mencabar, lapan pemain terbaik dunia dalam ranking Siri Super berentap untuk setiap kategori bagi merebut kejuaraan Siri Super Final dan tiada venue yang sesuai untuk melambangkan prestij dan juga kemewahan selain Dubai.

Kemeriahan saingan Siri Super Final di Dubai tidak sahaja tertumpu pada aksi hangat di dalam gelanggang tetapi juga dipersekitaran kompleks di mana penganjur menyediakan zon penyokong, yang mana mereka boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan badminton.

Antara aktiviti memanas badan ialah cabaran reaksi, di mana ketangkasan diperlukan untuk mengenalpasti hala tuju bulu tangkis ataupun dalam aksi simulasi yang disediakan, iaitu kelipan lampu.

Cabaran lain yang disediakan ialah 'killshot' nama aktiviti sahaja sudah tampak menarik dan pengunjung akan diuji dengan ketepatan melakukan servis.

Antara yang mencuri tumpuan di zon penyokong ialah kehadiran inovasi peralatan bantuan latihan badminton profesional iaitu 'shuttlecock launcher' atau pelancar bulu tangkis. Ia merupakan ilham daripada skuad badminton Perancis dan sedang dalam fasa untuk mendapatkan dana bagi penghasilan dalam skala yang besar.

Bulu tangkis akan disusu rapi di dalam sebuah tiub kemudian dimuatkan di dalam pelancar, ia akan diselaraskan mengikut kemahuan dan sekilas pandang tidak ubah seperti corak latihan yang dijalankan oleh skuad elit.

Walau apa jua keputusan yang diraih oleh skuad negara di kejohanan penutup tirai Siri Super 2016, tahun ini merupakan tahun yang cukup memberangsangkan buat skuad badminton negara secara keseluruhannya.