Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui badan induk itu tetap berbangga dengan pencapaian Datuk Lee Chong Wei sekalipun jaguh perseorangan negara itu gagal dalam misinya merangkul gelaran Siri Super Akhir di Dubai, semalam.

Chong Wei menghampiri gelaran kelimanya bagi kejohanan berprestij itu selepas cemerlang mengungguli set pertama 21-19 berdepan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Ketika keyakinan hampir memihak Chong Wei untuk bergelar juara, perhitungan set kedua mengubah jalan cerita impian anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Kekalahan 19-21 menjadi detik di mana Chong Wei gagal membendung kejaguhan Axelsen dalam set penentuan dan akur kecundang 15-21 untuk kekalahan ketiga berturut-turut kepada lawan yang 12 tahun lebih muda daripadanya.

Begitupun, Norza tiada rasa sangsi terhadap kredibiliti Chong Wei biarpun faktor usia sekali lagi tampak mendorong kepada kekalahan itu.

"Saya berasakan kalau kita tengok perlawanan semalam, bukanlah dia jauh berbeza dengan Axelsen, cuma nasibnya dalam set kedua agak tidak baik.

"Dalam set ketiga, sebagai pemain yang lebih muda, Axelsen telah menunjukkan (kemampuannya). Dia juga adalah juara dunia," ujarnya.

Kekalahan itu bermakna Chong Wei menutup tirai tahun ini hanya dengan dua kejuaraan, iaitu dalam Seluruh England dan Terbuka Hong Kong.

Namun, Norza tetap berasakan pemain berusia 35 tahun itu sudah meraih pencapaian memuaskan, dengan kemaraan ke perlawanan akhir di Dubai mampu menjadi pemangkin kepada semua pemain untuk lebih menyinar pada tahun depan.

"Sebagai pejuang, walaupun berusia 35 tahun, dia telah menunjukkan contoh yang sangat baik kepada pemain-pemain lain.

"Dia telah bermula dengan Terbuka Jepun, dan kemudian menang dalam Terbuka Hong Kong. Ia adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.