Jurulatih perseorangan lelaki badminton negara, Hendrawan, mengesahkan bakal mengiringi Datuk Lee Chong Wei untuk mengharungi Siri Super Akhir di Dubai dari 13 hingga 17 Disember ini.

Selepas Tey Seu Bock menggalas tugas membimbing Chong Wei dalam Siri Super Terbuka Hong Kong sehingga menjuarai kejohanan itu, kini tanggungjawab diberikan kepada Hendrawan tatkala ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, berada dalam Masters Korea Selatan yang sedang berlangsung.

Hendarawan berkata tugas kali ini dilihat lebih mencabar, terutama selepas jaguh badminton negara itu kembali mencuri perhatian di Hong Kong.

Dia mengharapkan tugasnya mampu berakhir dengan keputusan positif bersama Chong Wei di Dubai.

"Saya akan mengikut Chong Wei dengan persiapan sekarang tinggal 10 hari sahaja lagi. Semuanya dalam keadaan baik dan paling penting, Chong Wei mempunyai keyakinan selepas cemerlang di Hong Kong.

"Kami sudah berbincang dan dia menunjukkan kemahuan dalam kejohanan di Dubai. Diharapkan semuanya akan berjalan baik," katanya.

Masih belum diketahui siapakah pencabar pertama yang bakal ditentang Chong Wei, bagaimanapun, Hendrawan mengutamakan aspek kecergasan daripada pemain berusia 35 tahun itu sebelum kejohanan bermula.

"Kami belum mengetahui (pencabar lain). Mungkin ada lapan pemain terbaik. Saya fikir minggu depan akan diketahui selepas proses undian," tambahnya.