Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, menjelaskan kegagalan menyerap tekanan ketika permainan set kedua menjadi titik tolak kekalahannya kepada Viktor Axelsen dalam final acara perseorangan Siri Super Akhir di Dubai, semalam.

Menerusi corak permainan kemas mengawal setiap penjuru gelanggang, pemain dari Denmark itu juga bijak memanfaatkan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan Chong Wei.

"Saya fikir dia pemain muda yang mempunyai kelajuan dalam serangan. Saya mesti bertahan sepanjang masa dan kalau mempunyai peluang yang baik, saya membuat serangan.

"Saya telah mencuba dalam setiap pukulan dan saya agak berkeyakinan dalam perlawanan hari ini," kata Chong Wei selepas perlawanan itu.

Kekalahan tersebut menyaksikan Chong Wei juga kempunan untuk kembali menduduki ranking nombor satu dunia selepas kehilangan status itu Jun lalu.

Chong Wei hampir memenangi perlawanan akhir itu selepas memenangi set pertama 21-19, namun dia gagal mengekang kemaraan Axelsen apabila tewas dua set berikutnya 19-21, 15-21.

"Axelsen lebih muda daripada Chong Wei. Dalam aspek fizikal, dia mempunyai kelebihan.

"Bulu tangkis juga agak perlahanan, jadi ia agak sukar untuk Chong Wei menyerang," kata jurulatih, Datuk Tey Seu Bock.