Tatkala tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 bakal berakhir hujung April depan, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, mengakui semua pertandingan yang disertainya, termasuk Kejohanan Badminton Masters Malaysia, adalah penting dalam memastikan tempatnya ke Tokyo.

Pemain berusia 22 tahun dari Melaka itu juga berharap dia dan pasangannya, Soh Wooi Yik, dapat sekurang-kurangnya mara ke pusingan suku akhir dalam kejohanan yang disertai untuk meraih mata kelayakan yang mencukupi untuk ke Tokyo 2020 kerana perbezaan mata antara pemain tidak begitu ketara.

"Kami kena kekal prestasi konsisten sehingga kejohanan yang terakhir dalam tempoh kelayakan, iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) (di China dari 21-26 April) kerana setiap mata itu penting," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan rasmi skuad kebangsaan bagi Kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata hari ini.

Memandangkan tempoh kelayakan yang bermula pada 29 April 2019 bakal tamat pada 26 April depan, pasangan nombor satu negara itu kini menduduki tempat ke-10 dalam senarai ‘Race to Tokyo’ manakala pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, berada di tempat ke-12.

Mengikut kuota ke Olimpik, hanya 16 pasangan bagi acara beregu dan 34 pemain bagi acara perseorangan boleh beraksi di Tokyo.

Sementara itu, pemain yang menghuni ranking kelapan dunia itu juga berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengubah struktur undian kejohanan yang lebih adil di masa akan datang kerana mengikut struktur sedia ada, pemain kerap kali diundi menentang rakan senegara di peringkat awal.

Bagi Kejohanan Masters Malaysia dari Selasa hingga Ahad ini, pasangan juara Sukan SEA Filipina 2019 itu diundi menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong, seawal pusingan pertama.

"Saya pun tidak tahu kenapa undian sekarang senang lawan pemain dari negara sendiri. Sudah banyak kali, ini bukan kali pertama. Kadang-kadang kami jauh ke kejohanan luar negara tetapi bertemu pemain Malaysia. Kalau begitu lebih baik bermain di sini," ujar Aaron.

-- BERNAMA