Goh Jin Wei mempamerkan kematangan menakjubkan di sebalik tuntutan tinggi untuk dia mempertahankan kejuaraan selain masih menangani kekecewaan tewas dalam aksi berpasukan campuran kepada China.

Jin Wei tidak boleh mengelak daripada berasa terkesan dengan kekalahan kepada China, Ahad lalu, memandangkan dia adalah harapan terakhir Malaysia sebelum tewas 3-0.

Selepas memperoleh kemenangan pertama dalam saingan individu dengan mengalahkan Miranda Wilson 21-9, 21-11, dia akur lebih sedar terhadap kepentingan misi mempertahankan kejuaraan.

"Dalam aksi berpasukan campuran, saya berasa boleh menyumbangkan satu mata, sebaliknya gagal dan saya berasa sedikit kecewa.

"Walaupun kalah 3-0 kepada China, saya berasakan keputusan itu satu titik tolak yang baik kepada pemain," katanya.

Jin Wei juga menawarkan pandangan terhadap perbezaan di antara kempen di Lima, Peru, tahun lalu dan Bilbao, terutama membabitkan soal siapa pencabar kejuaraannya.

"Saya berasa tidak banyak bezanya sungguhpun kebanyakan pencabar tahun lalu seperti He Bing Jiao sudah tiada. Tapi pemain seperti Chen Yufei masih ada," katanya.

Sementara itu, perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, menyahut cabaran untuk mengiringi misi Jin Wei membawa pulang kejuaraan dari Bilbao, Sepanyol.

Zee Jia sebelum ini terkilan tidak diberi mandat untuk beraksi dalam final berpasukan campuran.

Namun, Zii Jia mengambil keputusan itu dari sudut positif agar langkah itu berupaya membantu mengekalkan kecergasannya dalam baki kempen kali ini di sebalik statusnya sebagai pilihan kedua kejohanan.

"Saya agak sedih kerana tidak dapat beraksi dalam aksi berpasukan campuran.

"Tetapi saya berasa keputusan yang dibuat jurulatih adalah tepat agar saya mendapat rehat secukupnya dalam saingan individu," katanya.