Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menjangkakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak akan mengumumkan persaraannya selepas pulih daripada kanser hidung.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata setelah 18 tahun terlibat dalam arena badminton, Chong Wei tidak akan mudah berputus asa kerana bekas pemain nombor satu dunia itu masih mempunyai impian yang belum tercapai dalam Sukan Olimpik.

Menurutnya, Chong Wei yang sudah melalui pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang kariernya sebagai pemain badminton, kini melalui fasa pemulihan kanser yang positif.

“Semangatnya begitu tinggi, dia mampu menceritakan mengenai proses rawatan yang sukar. Kita boleh lihat pemikirannyayang sentiasa positif walaupun terpaksa mengharungi kepayahan sepanjang tempoh rawatan. Akhirnya dia telah mengatasi detik getir itu.

“Chong Wei sendiri tahu dia perlu bermula dari awal (latihan) dan BAM juga tidak mahu memberi tekanan kepadanya.

"Dia perlu tahu mengenai tahap ketahanan dan kecergasan fizikalnya ketika ini sebelum memulakan latihan,” katanya selepas sidang media khas oleh Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Mohamad Norza berkata pemain yang kini bebas kanser hidung itu akan memulakan sesi latihan bersama jurulatih, Hendrawan, sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada pakar perubatan untuk menjalani latihan lebih intensif.

Sebagai langkah awal, BAM akan membincangkan keperluan Chong Wei dalam persiapan pemain itu ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik menyasarkan pingat emas dalam edisi akan datang.

Pemain berusia 36 tahun itu, hari ini, mengesahkan dirinya bebas daripada kanser dan berada dalam keadaan ketahanan imunisasi yang stabil selepas menjalani rawatan selama empat bulan di Taiwan.

-- BERNAMA