Kem badminton negara masih menaruh harapan terhadap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) agar dapat mencari jalan terbaik ekoran kejohanan badminton tertua dunia, saingan Kejohanan Seluruh England tahun hadapan mungkin terpaksa dibatalkan buat pertama kali sejak 1954 berikutan kebimbangan COVID-19 yang masih belum reda ketika ini.

Menerusi laman rasmi kejohanan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Badminton England, Adrian Christy, berkongsi masalah dihadapi selepas kerajaan Britain melarang kehadiran penonton dalam tempoh enam bulan.

Ia secara tidak langsung bakal membawa kerugian jika Seluruh England yang dijadualkan 17 sehingga 21 Mac depan diteruskan.

Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi daripada BWF dengan Malaysia masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi menimbang langkah seterusnya.

"Kalau Seluruh England tidak dapat dianjurkan, ia satu berita yang menyedihkan.

"Ia satu pertandingan yang prestij, kalau situasi penularan COVID-19 mengizinkan, kami masih berharap ia diadakan kerana sebagai jurulatih, kami memandangnya sebagai kejohanan penting," jelas Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, finalis edisi 2019, Aaron Chia, berharap negara tuan rumah dapat menyelesaikan masalah berkenaan dalam memastikan dia mengulangi kejayaan tahun lalu.

"Kalau Seluruh England tidak dapat dianjurkan, ia satu yang menyedihkan.

"Mungkin kalau tidak ada peminat yang dibenarkan ke kejohanan ini, ia lebih bagus demi buat keselamatan kami.

"Tetapi saya memahami kalau kehadiran penyokong diperlukan bagi menampung kos penganjuran," kata pemain beregu lelaki itu.