Pemain muda berpeluang membuktikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tepat dalam meremajakan skuad kebangsaan menerusi penampilan di pentas tertinggi dunia.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata taruhan masa depan negara dalam acara beregu wanita dan campuran akan membuat penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Badminton Seluruh England bulan depan.

Selain peresorangan utama, Lee Zii Jia, wakil muda yang telah dikenal pasti BAM untuk kejohanan itu ialah beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.

Meskipun sah tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, Kejohanan Seluruh England masih kekal dengan status Super 1000 di bawah kalendar Jelajah Persekutan Badminton Dunia (BWF).

"Thinaah dan Pearly juga akan ke sana selain Pang Ron dan Cheah Yee See. Selain itu, S. Kisona juga akan ke sana," kata Choong Hann kepada Nadi Arena.

"Walaupun tiada mata kelayakan ditawarkan dalam Seluruh England, buat pemain muda atau penyertaan pertama ini, saya mengharapkan mereka akan memberikan persembahan yang baik di sana dan mencuba untuk belajar daripada pengalaman bermain dengan pemain di peringkat tertinggi.

"Buat Zii Jia pula, saya harap dia akan menggunakannya sebagai satu lagi pentas untuk dia mengembalikan prestasi terbaiknya.

"Kemudian daripada itu saya akan menilai dan mengambilnya sebagai sebahagian daripada persediaan mereka untuk ke Sukan Olimpik," katanya.