Kegopohan nyata membunuh impian Lee Zii Jia bagi merebut gelaran juara remaja dunia, bagaimanapun, perseorangan lelaki itu sudah memasang impian untuk kembali bangkit di pentas senior.

Zii Jia sebelum ini memberi bayangan bahawa dia berupaya mencipta keajaiban dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol dalam menamatkan kemarau gelaran perseorangan lelaki selepas Zulfadli Zulkiffli menjuarainya pada 2011.

Ini berdasarkan aksi memberangsangkan pemain berkenaan sejak kempen berpasukan campuran sehinggalah aksi suku akhir acara individu.

Dalam perlawanan merebut tiket ke final, Zii Jia tidak berupaya menampilkan aksi sebenar, sekali gus dimanfaatkan lawan dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, yang merekodkan kemenangan 21-19, 21-18, lewat malam tadi.

"Mungkin setelah mara ke separuh akhir, saya terlalu memikirkan untuk ke final. Saya telah menewaskan Chico dua kali sebelum ini. Mungkin saya terlalu memikirkan kemenangan dan ia amat mengecewakan,” kata Zii Jia.

Sementara itu, jurulatih, Kwan Yoke Meng, berkata: "Chico pandai mengawal permainan dan sudah membaca gaya permainan Zii Jia selepas tewas dalam kejohanan berpasukan sebelum ini. Zii Jia banyak melakukan kesilapan kerana mahu cepat mematikan lawan."

Zii Jia, antara pemain yang dicanang sebagai masa depan perseorangan lelaki Malaysia, enggan melengahkan masa dalam misi memburu gelaran di pentas senior.

"Saya telah mempelajari banyak daripada kejohanan ini. Selepas ini beralih ke pentas senior, saya mahu memberikan yang terbaik dan cuba untuk memenangi gelaran," katanya.