Skuad perseorangan lelaki negara tetap menyasarkan untuk memiliki lebih daripada seorang wakil dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi musim 2018 bagi mengelak daripada terus tenggelam dalam saingan peringkat antarabangsa.

Kemas kini ranking dunia menyaksikan China dan India memiliki empat wakil dalam kelompok 20 terbaik.

Denmark yang diterajui juara dunia dan pemain nombor satu, Viktor Axelsen, memiliki dua wakil, begitu juga Indonesia, Hong Kong dan Taiwan dalam senarai itu.

Sementara itu, Malaysia kekal dengan seorang wakil, Datuk Lee Chong Wei, yang berada di tangga kelapan susulan kempen mengecewakan di Eropah, bulan lalu.



"Kalau daripada segi perseorangan lelaki, kami ada tiga pemain, iaitu Chong Wei, Zii Jia dan Joo Ven. Kami juga mengharapkan peningkatan atau perubahan daripada pemain junior ke senior, iaitu Leong Jun Hao.

"Kami berharap dia mendapat perkembangan yang secukupnya," kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob.

Empat perseorangan India, diketuai K. Srikanth, mencipta impak apabila satu ketika berada di bawah barisan pemain negara tetapi kini melonjak ke tangga kedua ranking dunia.

Sairul menyifatkan skuad badminton India kini sudah meningkat lebih baik daripada prospek negara.

"Secara jujurnya, saya tidak terkejut. Memang kita dapat melihat perkembangan mereka (India) dalam dua, tiga tahun ini. Daripada segi pembangunan, India berjaya melahirkan pemain yang boleh dikatakan bertaraf dunia pada ketika ini.

"Saya berasakan pemain-pemain kita bukannya kurang memiliki kemahiran atau bakat tetapi yang membezakan mereka adalah semangat, keberanian dan mental mereka. Ia merupakan kelemahan paling ketara dalam pasukan badminton kita," katanya.