Dalam usaha mengembalikan kegemilangan skuad beregu lelaki negara, ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, tidak terkecuali akur dengan keperluan untuk beliau memantapkan falsafah kejurulatihan dengan elemen sains sukan.

Berbekalkan status legenda, Soon Kit menyedari beliau memerlukan pendekatan yang berbeza untuk anak buahnya.

Bukan sahaja daripada aspek fizikal tetapi daripada segi kekuatan mental memandangkan beliau terkenal sebagai seorang jurulatih yang tegas.

Ini juga susulan daripada pembantu baru Soon Kit, Vontous Indra Mawan, yang sedang menjalani kursus dalam bidang itu sebelum memulakan tugas rasmi.

"Dia sepatutnya sudah mula bertugas pada hari ini tetapi persatuan telah menghantarnya untuk menjalani kursus di Langkawi dan dia akan kembali pada Jumaat ini.

"Kami perlu memandang ke depan dan menggunakan elemen sains sukan adalah sesuatu yang diperlukan bagi persiapan pemain-pemain menghadapi kejohanan," kata Soon Kit.

Ini sudah pasti merujuk kepada bagaimana beliau mahu memastikan dua gandingan senior baru, Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin serta Goh V Shem-Teo Ee Yi membentuk keserasian secepat mungkin.

"Setakat ini, mereka positif dalam latihan dan mereka tidak sabar untuk membuktikan kemampuan dengan gandingan baru. Saya fikir, ia petanda baik tetapi kami perlu melihat bagaimana mereka beraksi dalam kejohanan. Ia berbeza sesi latihan dan kejohanan," katanya.