Sabah bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Celcom Axiata Bawah 21 Tahun Kebangsaan (pusingan kedua) pada 12 hingga 16 Disember depan.

Bagaimanapun, venue kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Badminton Sabah (SBA) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan ditentukan kelak.

Presiden SBA, Janih Bangud, ketika mengumumkan perkara itu berkata tarikh kejohanan kali ini 'berlanggar' dengan salah satu lagi program yang turut dijadualkan berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas, iaitu cadangan venue untuk kejohanan berkenaan.

"Bagaimanapun, kami akan mencuba yang terbaik bagi mengadakan kejohanan itu di sana (Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu) tetapi apa pun nanti, kejohanan tetap diadakan pada tarikh 12 hingga 16 Disember," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Janih berkata sebanyak 164 penyertaan telah diterima sempena kejohanan lima hari itu dengan 64 peserta adalah dari Sabah.

"Bagaimanapun, kami belum pasti sama ada pemenang Kejohanan Remaja Dunia 2018 dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja, Goh Jin Wei, akan menyertai kejohanan kali ini atau tidak.

"Jin Wei masih layak untuk menyertai kejohanan ini kerana baru berusia 18 tahun, kami harap dia akan datang," katanya.

Kejohanan itu nanti bakal mempertandingkan kategori perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.