Lazimnya, atlet menghabiskan masa di luar program latihan untuk berehat dan beriadah.

Namun, ia berbeza buat perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, apabila dia mengambil kesempatan masa terluang dengan mengkaji semula aksi kompetitif sebelum ini.

"Saya banyak mengkaji pertarungan yang membabitkan saya sendiri.

"Lagipun tidak dapat keluar -- dikuarantin kerana terbabit dalam program Road to Tokyo (RTT) -- saya berasa pelik," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.




Pemain berusia 23 tahun itu mengakui waktu luar latihan RTT berbeza berbanding waktu sebelumnya yang menyaksikan masa mereka diisi dengan aktiviti lain.

Justeru, tempoh rehat minggu pertama dalam program kuarantin sempena persiapan Sukan Olimpik Tokyo 2021 itu mahu dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam masa sama, dia menegaskan kehadirannya dalam kem RTT bukan sekadar sebagai rakan pelatih, sebaliknya sebagai pencabar kepada perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

"Hanya kami berdua di sini (sebagai pemain perseorangan).

"Kami berkesempatan untuk berlatih bersama-sama dan saya berasakan ia situasi yang adil.

"Kalau saya tidak melaporkan diri, maka saya tidak mempunyai kesempatan seperti ini.

"Jadi ia langkah yang bagus buat saya," tambahnya.

Esok merupakan hari yang dinantikan oleh 204 orang termasuk pegawai sokongan untuk kembali ke kem latihan yang membabitkan lima lagi sukan di bawah RTT.