Teka-teki status Chan Chong Ming untuk memulakan tugasan sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara akhirnya terjawab.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kemudian tampil mengesahkah kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, dengan menjelaskan bekas pemain negara itu akan melaporkan diri 1 Julai depan.

Ia susulan perancangan bagi memastikan proses peralihan lebih sistematik buat skuad beregu wanita yang diketuai oleh Lee Meng Yen dan Chow Mei Kuan.

Fasa pertama program latihan Sukan Olimpik 2021, Road to Tokyo (RTT), hanya membabitkan pemantapan kecergasan dan fizikal dan bukannya fokus kepada rombakan pasukan.

"Kami perlu adakan peralihan yang bagus.

"Saya tidak mahu terus menyerap Chong Ming selepas tiga bulan mereka (jurulatih dan pemain) tidak dapat berjumpa -- akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang adalah peringkat pemulihan COVID-19, jadi peralihan mendadak akan menjadi janggal buat pemain.

"Kami tidak boleh balik rumah dan tiba-tiba (persekitaranya) sudah bertukar dengan rumah yang dicat berbeza, jadi sudah tentulah mereka akan tidak berasa seperti di rumah sendiri lagi," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Dalam perkembangan lain, wartawan, Haliza Hamzah, mendapatkan pengesahan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengenai status Shevon Lai yang mengalami demam denggi 28 Mei lalu.




Ini selepas pemain itu berkemungkinan besar terpaksa berehat lebih lama daripada yang dijangkakan.

"Dia sudah pulih dan dalam keadaan baik.

"Keadaannya masih lagi lemah dan doktor telah menasihati agar berehat buat seketika.

"Kami amat gembira dengan perkembangan itu," katanya.

BAM, bagaimanapun, enggan memberi komen mengenai penamatan kontrak Shevon bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun menegaskan badan induk itu akan memastikan kebajikan atlet terjaga.

"Atlet BAM yang menghadapi RTT, apa sahaja kebajikan mereka diteruskan.

"Kami mahu rakyat Malaysia memberi sokongan kepada mereka kerana mereka merupakan wira dan wirawati negara.

"Apa sahaja yang perlu dibuat untuk membantu mereka khususnya dalam COVID-19, kami perlu kekalkan."