Undangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat pemain profesional menyertai latihan di akademi badan induk itu melengkapkan kekurangan program latihan mereka yang selama ini tanpa rakan sepelatih.

Cadangan daripada BAM itu menerima sokongan bekas pemain negara yang menghuni slot ranking nombor satu dunia pada 2001, Roslin Hashim.

Dia menganggap keputusan BAM mahu menjemput pemain profesional yang mempunyai peluang cerah beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2021 itu mampu membantu mereka membuat persiapan lebih rapi.

"Saya melihat kenyataan daripada Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, sebagai sesuatu yang amat baik untuk pemain profesional kerana kami dapat lihat terdapat ramai rakan sepelatih dalam kem itu," katanya.

Dalam masa sama, Roslin berpendapat BAM perlu bersifat terbuka dalam memilih pemain negara ke Piala Thomas dan Uber tanpa mengira wakil di bawah naungan badan induk berkenaan atau profesional.

"BAM harus membuka ruang, maksud saya semangat yang terbaik. Jika pemain profesional di luar lebih baik, mengapa tidak kerana mereka tetap mewakili Malaysia dan bukan mana-mana kelab atau akademi."