Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim, berpendapat langkah melahirkan prospek pemain badminton handalan dulu perlu bermula dari sekarang.

Dalam tiga kejohanan di Thailand yang tidak disertai China dan Jepun, Malaysia gagal mengambil kesempatan itu yang menyaksikan wakil Korea Selatan, Denmark dan Taiwan sering mewarnai pentas akhir.

Sehubungan itu, kerjasama untuk melahirkan bintang masa depan seharusnya bermula di bangku sekolah lagi.

"Kita kena bermula dari akar umbi.

"Kita kena cari (pemain) dan kalau tak buat, tidak nampak.

"Sesetengah budak-budak mempunyai bakat tetapi mereka perlu ikut acuan yang betul secara berperingkat," katanya dalam Program Nadi Weekend sebentar tadi.





Malaysia nyata tidak ketandusan bakat menerusi penyertaan paling ramai dalam Kejohanan Akhir Jelajah Dunia 2020 yang berakhir di Impact Arena, sebentar tadi, namun mutakhir ini gagal menyinar di arena antarabangsa termasuk dua kejohanan berturut-turut Terbuka Thailand yang lalu.

"Ada yang (pamer prestasi) baik dan ada pula yang sedikit mengecewakan.

"Saya harap apa yang mereka telah lalui sebagai satu pengajaran untuk betulkan kesilapan kali ini.

"Pemain yang tewas awal bukanlah bermakna permainan mereka teruk, ia masih boleh diperbaiki lagi," katanya.

Beliau turut 'letih' melihat ketangkasan yang dipamerkan setiap juara, ia membuktikan persiapan dan keazaman mereka bagi menghadapi sesuatu kejohanan.

Justeru, stamina tinggi dan kepantasan dalam aspek permainan seharusnya menjadi iktibar buat barisan tonggak negara.

Menurutnya lagi: "Beregu wanita dan lelaki ada peningkatan.

"Beregu muda negara, Nur Izzudin Rumsani -Goh Sze Fei (lelaki) dan Pearly Tan-M Thinaah (wanita), membuktikan prestasi mereka hanya sedikit lagi mampu menyaingi pemain senior.

"Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi."