Razif yakin dengan kemampuan Choong Hann

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2018 256
Razif yakin dengan kemampuan Choong Hann
Bekas pemain negara, Datuk Razif Sidek, percaya dengan kemampuan Wong Choong Hann untuk meningkatkan kembali reputasi skuad kebangsaan selepas dilantik sebagai pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Choong Hann menjadi pilihan BAM selepas penelitian beberapa calon bagi tugas berkenaan.

Bekas pemain perseorangan negara itu akan memulakan tugas pada Januari 2019 dengan kontrak selama dua tahun.

Namun, masa dilihat tidak memihak kepadanya dalam memastikan badminton dapat melaksanakan misi pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Razif yang juga bekas ketua jurulatih negara turut berpandangan ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian segera oleh Choong Hann.

"Saya percaya dengan kebolehan Choong Hann dan ia adalah percaturan terbaik untuk meningkatkan semula prestasi barisan pemain perseorangan negara," kata Razif.

Perlantikan Choong Hann turut disambut baik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jelasnya, BAM mengambil keputusan wajar dengan mengutamakan kemahiran tempatan berbanding mengeluarkan kos lebih tinggi untuk tenaga luar sambil menaruh keyakinan terhadap Choong Hann membuktikan kemampuan.

"Saya sangat gembira BAM mengambil khidmat Choong Hann kerana beliau merupakan bekas atlet negara yang telah mengharumkan nama negara dalam sukan badminton," kata Syed Saddiq.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen