Mengharungi kekalahan dan kekecewaan adalah keperluan buat pemain badminton perseorangan profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, sebelum mengimpikan gelaran juara remaja dunia.

Saingan sirkit kedua bawah 18 tahun kebangsaan minggu lalu menyaksikan Aidil tersingkir di peringkat suku akhir dan ia jelas satu kekecewaan besar memandangkan dia adalah pilihan kedua kejohanan.

Namun, jurulatihnya di Akademi Sports Affairs, Rashid Sidek, berasakan situasi itu menjadi pengajaran berguna buat anak buahnya.

"Memang jika dilihat daripada aspek prestasi, dia tidak konsisten. Kami tidak boleh mengharapkan prestasinya sentiasa kekal cemerlang.

"Saya mengakui memang banyak lagi latihan diperlukan untuk menaikkan prestasi dan persembahannya," katanya.

Rashid berpandangan tidak wajar untuk dia meletakkan tekanan buat Aidil menjuarai Kejohanan Remaja Dunia selepas melihat kepada barisan pemain yang akan berentap di Markham, Kanada bermula 5 November depan.

"Kalau boleh, saya mahu melihat dia beraksi lebih jauh tetapi jika untuk bergelar juara, memang agak sukar. Banyak lagi pemain yang berpengalaman dan menerima pendedahan lebih besar.

"Namun, untuk ke suku akhir atau separuh akhir, ia sudah cukup membanggakan."