"Pelantikan jurulatih terbaik belum tentu mengembalikan kegemilangan badminton Malaysia ketika kualiti kelompok bakat pemain dalam kem kebangsaan ketinggalan berbanding kuasa besar dunia seperti China dan Jepun."

Itu pandangan bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, terhadap beberapa pendekatan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Semalam, jawatankuasa itu mengenal pasti keperluan merombak barisan kejurulatihan perseorangan dan beregu wanita.

Bagaimanapun, Rashid menegaskan mana-mana jurulatih di dunia akan bergelut untuk meningkatkan kualiti dua skuad tersebut yang turut ketandusan pelapis daripada skuad remaja.

"Bahagian perseorangan wanita memang terhad kualiti. Mungkin ada yang mungkin menyerlah tetapi dalam Siri Super, memang sukar.

"Sama juga dengan beregu wanita. Wakil Malaysia agak terhad, hanya ada beberapa pasangan.

"Daripada segi kualiti, memang sukar beri saingan kepada negara seperti Jepun dan Indonesia. Jika ada jurulatih baru dan berkualiti, saya rasa masih sukar untuk tingkatkan mutu permainan mereka," katanya.

Penilaian prestasi hujung musim 2019 menyaksikan tujuh pemain ditunjukkan jalan keluar, termasuk tiga nama yang berstatus senior.

Mereka adalah perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, dan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, yang dirasakan pengendali itu masih mampu menawarkan kualiti ketika sesi latihan program kebangsaan.

"Sedikit-sebanyak memang beri kesan, terutama persiapan pemain elit, kerana mereka perlukan pelatih bagus. Rata-rata pemain junior masih belum menyerlah, jadi dikhuatiri peningkatan mereka akan terjejas," tambah Rashid.

Sementara itu, BAM menerusi pengarah kejurulatihannya, Wong Choong Hann, akur dengan keperluan untuk memantapkan pembentukan skuad Piala Thomas dengan kudrat profesional.

Situasi itu bermakna Ee Yi dan Yew Sin serta Joo Ven yang baru sahaja disingkirkan daripada program kebangsaan berpeluang mewakili Malaysia untuk tugasan kejohanan berpasukan.

Kelayakan ke Piala Thomas buat Malaysia ialah menerusi Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadualkan di Filipina bulan depan.

Biarpun tidak layak secara merit, kem kebangsaan masih boleh bersandarkan kepada ranking berpasukan dunia untuk membuat penampilan dalam Piala Thomas yang menyaksikan Aarhus, Denmark menjadi tuan rumah Mei depan.

Pemilihan skuad Piala Thomas bakal mempertaruhkan sama ada sepenuhnya bakat muda daripada BAM atau penambahan pemain profesional berpengalaman, namun tetap bergantung kepada misi sama mencabar kejuaraan serta sebagai pendedahan.

"Kami akan cuba seimbangkan skuad dengan pemain senior berpengalaman dan berkaliber bersama nama baru.

"Kami boleh lihat dalam skuad bahawa keseluruhannya muda tetapi ada beberapa pemain yang menonjol dan naik ke ranking tinggi. Mungkin mereka masih mentah tetapi peluang yang diberi mampu menambahkan kualiti pemain muda," ujar Choong Hann.



Editor: Nafis Abdullah