Misbun Ramdan Misbun mengakui menjadi anak kepada seorang pemain badminton legenda negara, Datuk Misbun Sidek, bukan satu tiket untuknya mendapat laluan mudah.

Sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2012 dan berdepan siri kecederaan tumit, juara Grand Prix Kebangsaan 2012 itu kembali mewarnai pentas negara menerusi penampilannya dalam Purple League Pro-Am 2020 yang bermula Khamis depan.

"Pengalaman yang paling tidak saya sangka ketika di bawah tunjuk ajarnya (Misbun Sidek), saya dikerah turun berlatih walaupun baru keluar hospital akibat kecederaan.

"Saya sangka apabila balik rumah bolehlah berehat tetapi rupanya kena duduk di atas kerusi sambil memukul bulu tangkis sampai 'lebam'.

"Itu salah satu cara supaya saya tidak berputus asa.

"Walaupun luka masih berdarah, jahitan belum dibuka tapi saya sudah diarah berlatih," katanya dalam pelancarannya kejohanan itu yang akan menampilkan barisan atlet profesional di Putrajaya, kelmarin.

Menurutnya lagi: "Ingatkan dapatlah berehat tapi apabila nampak sahaja kelibatnya, saya kena buat. Saya mula berasa seram, auranya memang lain.

"Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri kenapa tetap kena berlatih. Saya tengah sakit, nak rehat.

"Ayah saya kalau dia buat sesuatu itu, dia akan buat betul-betul contohnya kalau sesiapa yang ikutnya berlari pada waktu pagi memang tidak larat."


Get to know the players! Well, who doesn't know them? Don't miss Misbun Ramdan, Liew Daren and Lim Chi Wing who will be fighting in Top Glove Purple League Pro-Am 2020 on our Facebook page live!

Posted by Purple League on Saturday, December 26, 2020


Walaupun sukar memenuhi jangkaan ramai yang membandingkan pencapaiannya yang dilahirkan dalam kalangan 'anak-anak Sidek', Misbun Ramdan menganggap ia satu lumrah dan bersikap terbuka.

Begitupun, pemain berumur 29 tahun itu menganggap Purple League batu loncatan untuknya mengukur kemampuan terkini selain hakikat belum bersedia menggantung raket.

"Saya sedar, tidak sentap. Selagi saya yakin dengan kemampuan sendiri.

"Ayah selalu pesan jangan fikir apa yang telah berlaku.

"Purple League satu pelantar untuk saya menilai kemampuan sekarang. Berapa lama saya boleh meneruskan karier.

"Malah, pemain ternama seperti Lin Dan pun fikir banyak kali, Datuk Lee Chong Wei pula sampai menangis.

"Saya mengharapkan karier yang panjang seperti Chong Wei."