Kejohanan Purple League Pro-Am 2021 melabuhkan tirai petang tadi dengan pertarungan penuh mendebarkan membabitkan perseorangan lelaki yang menyaksikan dua pemain daripada Kelab Sports Affairs, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven, di Putrajaya.

Selepas sejam memerah keringat, keputusan 3-2 memihak Joo Ven tetapi sejurus mata akhir, tindakan mereka berpelukan mencerminkan erti betapa eratnya persahabatan mereka.

"Mata akhir itu ibarat tuah dan gembira ia menyebelahi saya pada hari ini.

"Saya memeluk Iskandar (selepas mata akhir) kerana kami berlatih, makan dan bergurau bersama-sama setiap hari.

"Saya memandangkannya sebagai rakan dan pemain senior yang baik," kata Joo Ven sejurus kejohanan berakhir.

Top Glove Purple League Pro-Am 2020 | Finals (3 January 2021, 1.00PM) Watch here on Youtube :...

Posted by Purple League on Saturday, January 2, 2021



Kekecewaan Iskandar Zulkarnain selaku juara remaja Asia 2012 ditebus dalam aksi beregu lelaki ketika bergandingan di samping Azryn Ayub.

Dalam aksi yang tidak kurang sengit itu, mereka berhasil menyekat kejayaan lawan yang merupakan pilihan kedua, Shia Chun Kang-Wong Tien Ci, 3-1.

"(Saya) agak gembira (dengan pencapaian ini), cuma badan berasa penat sedikit.

"Saya perlu bangkit. Alhamdulillah saya dapat kendalinya dalam beregu.

"Kejohanan Pro-Am medan untuk nilai prestasi kami dan ia satu permulaan yang baik," kata Iskandar Zulkarnain.