Kelab badminton bagi saingan SS Purple League bakal menggunakan peluang Malaysia yang menjadi tuan rumah Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah pada Februari 2018 untuk mendapatkan pemain import berkualiti pada jendela perpindahan sebelum ke aksi final di Genting Highlands, 8 Februari depan.

Itu antara bonus untuk kelab badminton yang bakal bersaing di pentas Purple League pada edisi ini bagi mendapatkan pemain import terbaik sebelum ke final pada Februari 2018.

Walaupun tarikh final bertembung dengan Kejohanan Berpasukan Asia, iaitu dari 8 hingga 12 Februari, Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh, percaya saingan tetap akan berjalan seperti yang dirancang.

Kebanyakan pemain dari luar akan hadir ke Malaysia bagi persediaan kejohanan yang turut menjadi kelayakan Piala Thomas dan Uber yang juga akan memberi peluang kepada kelab mengintai pemain import yang boleh beraksi di final nanti.

“Kelab badminton boleh mendapatkan pemain-pemain import bagi mempertingkatkan mutu pasukan ketika beraksi dalam saingan di Genting Highlands,” kata Jack.

"Ini kerana ramai pemain berkualiti akan turun ke Malaysia bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Thomas dan Uber."

Tambah Jack, tiada kelab tertentu yang menjadi pilihan utama dalam memberi cabaran kerana persaingan edisi ini dilihat lebih hebat berbanding tahun lalu.

“Kami menjangkakan saingan lebih sengit musim ini kerana mereka akan berusaha mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti untuk diturunkan beraksi,” ujarnya lagi.