Purple League: Musim 2018-19 ada tarikan tersendiri -- Jack 

Oleh Staff Writer 18 Disember 2018 338
Purple League: Musim 2018-19 ada tarikan tersendiri -- Jack 
Penganjur Kejohanan Badminton Purple League yakin sistem sedia ada masih mampu menjadi tarikan menjelang saingan musim depan yang turut menyaksikan penglibatan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun.

Purple League yang merupakan saingan badminton berpasukan, kini memasuki musim kelima dengan menampilkan format berbeza berbanding aksi badminton antarabangsa.

Kejohanan itu menggunakan sistem 11 mata dalam aksi lima set di samping had masa 30 minit ditetapkan dalam setiap perlawanan.

Konsep itu sentiasa menjadi daya tarikan di samping kelibat beberapa pemain jemputan yang memperkuatkan setiap pasukan bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh, berkeyakinan saingan kali ini akan berlangsung lebih sengit berbanding edisi-edisi sebelumnya.

"Format 11 mata, lima set dalam 30 minit itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

"Kami akan mengekalkan format itu musim ini.

"Satu lagi perkara penting adalah Purple League merupakan satu-satunya platform buat pemain-pemain muda bertarung dengan pemain-pemain terbaik dunia tanpa mengambil kira kedudukan ranking," katanya.

Jack berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pengenalan pasukan Purple League 2018-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Seperti musim-musim terdahulu, saingan kali ini akan dilangsungkan dalam tiga pusingan, dengan penentuan kejuaraan akan berlangsung di Genting Highlands, penghujung Januari ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen