Kelab Badminton (KB) Puchong United yang turun beraksi dalam perlawanan pertama saingan SS Purple League musim ini tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kewibawaan apabila mencatat kemenangan besar 15-2 ke atas KB Bangsar Hawks untuk berada di puncak saingan di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Perseorangan lelaki, Liew Daren, mendapatkan kemenangan pertama KB Puchong United selepas mengalahkan pemain KB Bangsar Hawks, Muhd Syafiq Sanusi, 3-0 (11-6, 11-5, 11-3).

Dalam perseorangan wanita selepas itu, Aya Ohori melebarkan pungutan mata KB Puchong United melalui kemenangan berdepan pemain KB Bangsar Hawks, Yap Yee, 3-1 (11-3, 10-11, 11-7, 11-7).

Tidak cukup dengan itu, KB Puchong United terus menguasai acara beregu lelaki. Gandingan Lim Khim Wah-Mak Hee Chun mencatat kemenangan 3-1 (11-10, 7-11, 11-8, 11-6) ke atas Deoe Ryan-Yap Qar Siong untuk KB Puchong United mendahului 9-2.

Acara beregu campuran kemudian turut dikuasai sepenuhnya oleh KB Puchong United. Gandingan Lai Pei Jing-Tan Kian Meng tidak memberikan peluang kepada Keshya Nurvita-Roobenraj Velayutham untuk pasangan ranking ke-11 dunia itu meraih kemenangan 3-0 (11-3, 11-7, 11-5).

Dalam satu lagi pertarungan acara perseorangan lelaki, Wei Nan mengesahkan malam bergaya buat KB Puchong United menerusi kemenangan 3-0 (11-6, 11-6, 11-10) ke atas Zulhelmi Zulkiffli.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, berkata: “Ini adalah satu kemenangan besar di mana kami berjaya meraih 15 mata dan sudah pastilah ia penting untuk menduduki ranking teratas saingan.

"Ia adalah permulaan yang baik tetapi saya berharap pemain akan kekal konsisten dan fokus hingga ke pusingan akhir."

Sebelum itu, KB Ampang Jaya turut cemerlang untuk meraih kemenangan pertama mengatasi KB Cheras 10-8 pada sebelah petang.

Keputusan hari ini:

KB Bangsar Hawks kk KB Puchong United 2-15

MS2: Muhd Syafiq A Sanusi kk Liew Daren 0-3 (6-11, 5-11, 3-11)
WS: Yap Yee kk Aya Ohori 1-3 (3-11, 11-10, 7-11, 7-11)
MD: Deoe Ryan Philip-Yap Qar Siong kk Lim Khim Wah-Mak Hee Chun 1-3 (10-11, 11-7, 8-11, 6-11)
XD: Keshya Nurvita Hanadia-Roobenraj Velayutham kk Lai Pei Jing-Tan Kian Meng 0-3 (3-11, 7-11, 5-11)
MS1: Zulhelmi Zulkiffli kk Wei Nan 0-3 (6-11, 6-11, 10-11)

KB Ampang Jaya mn KB Cheras 10-8

MS2: Nguyen Tien Minh kk Chong Wei Feng 0-3 (10-11, 6-11, 8-11)
WS: Goh Jin Wei mn Nuntakarn Aimsaard 3-0 (11-4, 11-0, 11-2)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Mohd Arif Ab Latif-Mohd Razif Ab Latif 3-1 (11-7, 11-9, 8-11, 11-8)
XD: Chan Peng Soon-Ririn Amelia mn Ahmad Maziri Mazlan-Payee Lim Peiy Yee 3-1 (11-6, 11-7, 8-11, 11-5)
MS1: Zulfadli Zulkiffli kk Tommy Sugiarto 1-3 (11-10, 4-11, 10-11, 4-6)