Kekalahan kepada Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya dalam aksi final SS Purple League musim lalu dibalas penuh bergaya oleh KB Puchong United di Sports Arena Sentosa, hari ini.

Dalam perlawanan peringkat liga round robbin SS Purple League 2017/18 sebentar tadi, KB Puchong United seolah-olah melepaskan geram ke atas juara bertahan itu dengan membenam mereka 15-3.

Sejak daripada acara awal dalam acara perseorangan lelaki, KB Puchong United telahpun di depan hasil kemenangan Liew Daren. Dia beraksi baik mengalahkan pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin, 3-1 (11-9, 9-11, 11-7, 11-7).

KB Puchong United terus selesa dalam acara perseorangan wanita selepas pemain importnya, Aya Ohori, menang mudah 3-0 (11-4, 11-9, 11-9) mengatasi pemain KB Petaling Jaya, Supanida Katethong dari Thailand.

Kedudukan KB Puchong United bertambah kukuh setelah pasangan beregu lelaki mereka, Lim Khim Wah-Mak Hee Chun, menghadiahkan kemenangan dalam acara itu. Mereka menang 3-2 (10-11, 11-8, 11-6, 9-11, 5-4) dalam masa perlawanan 30 minit mengatasi Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, menjadikan kedudukan keseluruhan KB Puchong United di depan 9-3.

Belum cukup dengan tiga kemenangan, giliran pasangan beregu campuran KB Puchong United, Lai Pei Jing-Tan Kian Meng, terus meletakkan KB Petaling Jaya dalam sengsara selepas menewaskan gandingan K. Yogendran-Ti Wei Chyi 3-0 (11-1, 11-5, 11-6).

Kemenangan itu membolehkan KB Puchong United di depan 12-3.

Wei Nan mengesahkan kemenangan bergaya pasukan KB Puchong United dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki. Dia menang 3-0 (11-8, 11-10, 11-7) untuk mengecewakan pemain KB Petaling Jaya, Lee Cheuk Yiu.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, berkata: “Satu persembahan yang menakjubkan daripada pasukan KB Puchong United. Daripada perlawanan pertama lagi, kami sudah dapat lihat mereka sudah menyesuaikan diri kerana mereka juga adalah barisan yang diturunkan sebelum ini. Jadi, mungkin pemain sudah tidak rasa gugup untuk beraksi.

“Saya sangat gembira dengan keputusan hari ini. Apa yang penting, kami perlu teruskan fokus untuk perlawanan akan datang. Semasa sesi latihan, kami juga akan berikan yang terbaik kerana bukan mudah untuk menghasilkan pasukan yang mempunyai kekuatan seperti ini.

"Jangan pandang rendah dengan setiap pasukan yang kami temui untuk menyasarkan tempat ke final Purple League musim ini,” katanya selepas perlawanan.

Keputusan:

KB Petaling Jaya kk KB Puchong United 3-15

MS2: Goh Giap Chin kk Liew Daren 1-3 (9-11, 11-9, 7-11, 7-11)
WS: Supanida Katethong kk Aya Ohori 0-3 (4-11, 9-11, 9-11)
MD: Chooi Kah Ming-Low Juan Shen kk Lim Khim Wah-Mak Hee Chun 2-3 (11-10, 8-11, 6-11, 11-9, 4-5)
XD: K. Yogendran-Ti Wei Chyi kk Lai Pei Jing-Tan Kian Meng 0-3 (1-11, 5-11, 6-11)
MS1: Lee Cheuk Yiu kk Wei Nan 0-3 (8-11, 10-11, 7-11)