Kelab Badminton (KB) Cheras melakar kejutan ke atas juara bertahan SS Purple League, KB Petaling Jaya, dengan kemenangan 12-5 mengatasi mereka di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan KB Cheras untuk berada di kedudukan ketiga dalam carta liga selepas mengutip tiga kemenangan dan dua kekalahan setakat ini dalam liga sepusingan.

KB Cheras terlebih dahulu merampas kemenangan dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Chong Yee Han, menang mudah 3-0 (11-5, 11-10, 11-7) ke atas pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin.

Apapun, KB Cheras tewas dalam acara perseorangan wanita selepas itu. Grace Chua Hui Zhen dari Singapura gagal menyaingi aksi pemain KB Petaling Jaya, Supanida Katethong, apabila tewas 3-0 (5-11, 6-11, 7-11).

Acara beregu lelaki pula memperlihatkan kedua-dua pasukan bersaing bagi mendapatkan mata kemenangan.

Aksi sengit dalam perlawanan itu, bagaimanapun, sekali lagi lebih memihak KB Cheras menerusi Danny Bawa Chrisnanta-Arif Latif yang mengalahkan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 3-2 (11-3, 9-11, 10-11, 11-9, 11-9) untuk membolehkan pasukannya mendahului 6-5 dalam pungutan set mata keseluruhan.

Kejutan terus berlaku dalam acara beregu campuran apabila gandingan KB Cheras, Payee Lim Peiy Yee-Terry Hee Yong Kai, menumbangkan pasangan KB Petaling Jaya, K. Yogendran-Woon Khe Wei 3-0 (11-10, 11-10, 11-6). Keputusan itu membolehkan KB Cheras menguasai pungutan set mata keseluruhan 9-5.

Satu lagi acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain KB Cheras, Tommy Sugiarto, melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya. Dia menang 3-0 (11-10, 11-9, 11-8) mengatasi Lee Cheuk Yiu.

Pemain KB Cheras, Payee Lim Peiy Yee, berkata, “Hari ini adalah kali pertama saya berganding dengan Terry Hee Yong Kai dan saya berasa serasi. Bertemu K. Yogendran-Woon Khe Wei bukanlah perlawanan mudah tetapi saya tetap mencuba dan berjaya memberikan persembahan terbaik tadi untuk menang.

“Saya berasa sangat gembira dengan kemenangan 3-0 untuk pasukan KB Cheras.

"Ini adalah perlawanan ketiga saya dalam SS Purple League dan baru mencatatkan kemenangan kali pertama, jadi saya berasa sangat puas hati dan semakin yakin.

"Saya harap melalui kemenangan ini, saya akan terus memberikan mata kemenangan untuk KB Cheras andai ke saingan peringkat akhir nanti,” kata pemain yang juga merupakan juara remaja kebangsaan itu.