Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya melaungkan amaran awal untuk menjadi antara pencabar utama SS Purple League 2017/18 selepas mengatasi KB Cheras 10-8 dalam perlawanan pertama mereka di Sports Arena Sentosa, petang tadi.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei Feng memulakan perlawanan dengan meletakkan KB Cheras di depan melalui kemenangan ke atas pemain KB Ampang Jaya, Nguyen Tien Minh, 3-0 (11-10, 11-6, 11-8).

Apapun, pemain perseorangan wanita KB Ampang Jaya, Goh Jin Wei, menyamakan kedudukan keseluruhan menjadi 3-3 selepas dia menang mudah mengatasi pemain KB Cheras, Nuntakarn Aimsaard, 3-0 (11-4, 11-0, 11-2).

KB Ampang Jaya berada di depan selepas menang dalam acara beregu lelaki selepas itu. Gandingan Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Ismail menang 3-1 (11-7, 11-9, 8-11, 11-8) ke atas gandingan KB Cheras, Mohd Arif Latif-Mohd Razif Latif.

Kedudukan KB Ampang Jaya semakin kukuh selepas giliran pasangan beregu campuran pula menghadiahkan mata kemenangan. Chan Peng Soon-Ririn Amelia menewaskan pasangan KB Cheras, Ahmad Maziri Mazlan-Payee Lim Peiy Yee, 3-1 (11-6, 11-7, 8-11, 11-5), sekaligus menjarakkan pungutan mata keseluruhan kepada 9-5.

Peng Soon, yang baru menyertai pasukan KB Ampang Jaya dari pasukan KB Muar musim ini, berpuas hati dengan permainannya serta bertekad mahu membantu pasukannya mara ke pusingan akhir.

“Bagi saya, lawan kami hari ini, iaitu gandingan pemain remaja, mempunyai bakat dan kelebihan mereka tersendiri. Apapun, saya dan Ririn tidak leka serta tidak memandang rendah keupayaan mereka untuk mengakhiri perlawanan hari ini dengan kemenangan 3-1.

“Saya tidak bermasalah bergandingan dengan Ririn Amelia bersama pasukan baru saya. Paling penting adalah kami perlu faham, saingan ini bukan melibatkan individu tetapi adalah kerjasama pasukan secara keseluruhan. Saya sasarkan untuk kami layak ke peringkat akhir di Resorts World Genting dan sekurang-kurangnya menduduki tangga ketiga SS Purple League kali ini,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Satu lagi perlawanan perseorangan lelaki menyaksikan pemain KB Ampang Jaya, Zulfadli Zulkiffli, tewas 1-3 (11-10, 4-11, 10-11, 4-6) kepada pemain KB Cheras, Tommy Sugiarto, dalam 30 minit masa perlawanan.

Apapun, kekalahan itu tidak menjadi masalah besar kepada KB Ampang Jaya untuk memperoleh kemenangan sulung mereka musim ini.

Keputusan:

KB Ampang Jaya mn KB Cheras 10-8

MS2: Nguyen Tien Minh kk Chong Wei Feng 0-3 (10-11, 6-11, 8-11)
WS: Goh Jin Wei mn Nuntakarn Aimsaard 3-0 (11-4, 11-0, 11-2)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Mohd Arif Ab Latif-Mohd Razif Ab Latif 3-1 (11-7, 11-9, 8-11, 11-8)
XD: Chan Peng Soon-Ririn Amelia mn Ahmad Maziri Mazlan-Payee Lim Peiy Yee 3-1 (11-6, 11-7, 8-11, 11-5)
MS1: Zulfadli Zulkiffli kk Tommy Sugiarto 1-3 (11-10, 4-11, 10-11, 4-6)