Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya terus memperagakan aksi bergaya apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam SS Purple League di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Kali ini, mereka menang 12-6 ke atas KB Bangsar Hawks selepas merekodkan kejayaan pertama semalam dengan menundukkan KB Cheras 10-8.

Hajat KB Bangsar Hawks untuk memungut mata kemenangan pertama gagal biarpun mendahului pada awal perlawanan perseorangan lelaki. Pemainnya, Muhammad Syafiq Sanusi tunduk 1-3 (11-7, 8-11, 4-11, 1-11) kepada wakil KB Ampang Jaya, Tan Jia Wei.

Acara perseorangan wanita selepas itu menyaksikan KB Bangsar Hawks berjaya mencuri kemenangan pertama menerusi aksi cemerlang Yap Yee yang menang 3-0 (11-8, 11-10, 11-9) menentang Xu Wei.

KB Ampang Jaya kemudian bangkit menerusi beregu lelaki, Lukhi Apri Nugroho-Syawal Ismail, yang menewaskan gandingan KB Bangsar Hawks, Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong, dengan keputusan 3-1 (11-3, 8-11, 11-9, 11-5).

Keputusan itu membolehkan KB Ampang Jaya mendahului pungutan mata keseluruhan 6-5.

Chan Peng Soon-Lee Shun Mei terus menceriakan kem KB Ampang Jaya selepas mengatasi Keshya Nurvita-Roobenraj Velayutham dengan keputusan 3-1 (11-8, 3-11, 11-6, 11-9) dalam acara beregu campuran untuk melebarkan jurang keseluruhan menjadi 9-6.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki KB Ampang Jaya, Nguyen Tien Minh, turut tidak mengecewakan apabila menewaskan Zulhelmi Zulkiffli 3-0 (11-9, 11-8, 11-6).

Ketua jurulatih KB Ampang Jaya, Ho Khek Mong, berkata: “Saya gembira kerana kami telah memenangi dua perlawanan awal setakat ini.

"Selepas setahun persediaan, saya dapat lihat pemain muda kami juga menyerlah. Ini sudah pasti satu perkembangan yang baik kepada pasukan kerana tidak hanya bersandarkan pemain ternama. Pemain muda juga memberikan impak besar kepada pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Keputusan:

KB Ampang Jaya mn KB Bangsar Hawks 12-6

MS2: Tan Jia Wei mn Muhd Syafiq A Sanusi 3-1 (7-11, 11-8, 11-4, 11-1)
WS: Xu Wei kk Yap Yee 0-3 (8-11, 10-11, 9-11)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong 3-1 (11-3, 8-11, 11-9, 11-5)
XD: Chan Peng Soon-Lee Shun Mei mn Keshya Nurvita Hanadia-Roobenraj Velayutham 3-1 (11-8, 3-11, 11-6, 11-9)
MS1: Nguyen Tien Minh mn Zulhelmi Zulkiffli 3-0 (11-8, 11-9, 11-6)