Kelab Badminton (KB) Petaling mencatat kemenangan 13-9 ke atas KB Bangsar Hawks dalam pusingan liga round robin SS Purple League di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Kemenangan itu, bagaimanapun, tidak membuatkan jurulatihnya, Ismail Saman, berpuas hati, sebaliknya menuntut pemainnya agar lebih fokus dalam dua lagi baki perlawanan musim ini.

“Prestasi bagus, cuma ada sedikit momentum menurun kerana pemain kami pandang rendah kepada pasukan lawan. Tiba-tiba kita dapat lihat KB Bangsar Hawks bermain dengan cukup bagus, terutama dalam beregu lelaki mereka, biarpun kami menyasarkan untuk menang 3-0 dalam acara tersebut.

“Saya harap pemain akan dapat mengubah mentaliti apabila bertemu dengan mana-mana pasukan selepas ini. Maksud saya, tidak kira pasukan itu kuat atau lemah, kami perlu bermain dengan berhabis-habisan dan tidak memandang rendah pihak lawan.”

Tambahnya lagi: “Buat masa sekarang biarpun di kedudukan kedua, saya masih belum berpuas hati. Bagi saya, kedudukan kami masih belum stabil dan pemain haruslah beraksi dengan lebih cemerlang dalam baki perlawanan.

"Lagipun, kami menyasarkan kedudukan kedua atau ketiga peringkat pertama ini. Saya harap pemain lebih fokus dalam perlawanan dan tidak terlalu memikirkan kemenangan sahaja.

KB Petaling terlebih dahulu mencuri kemenangan dalam acara perseorangan lelaki melalui pemainnya, Kenichi Tago, yang menang tipis 3-2 (11-6, 8-11, 11-4, 4-11, 11-6) menentang pemain KB Bangsar Hawks, Zhang Song Ye.

Hera Desiana, yang turun dalam acara perseorangan wanita, meneruskan rentak cemerlang pasukan KB Petaling. Dia menang mudah menewaskan lawannya, Shen Yabing, 3-0 (11-10, 11-2, 11-4), menjadikan KB Petaling mendahului set mata keseluruhan 6-2.

Apapun, beregu lelaki KB Petaling, Goh V Shem-Ian Wong Jien Sern dikejutkan dengan aksi bertenaga pasangan KB Bangsar Hawks, Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong.

V Shem-Jien Sern tewas 1-3 (9-11, 11-9, 10-11, 9-11), bagaimanapun KB Petaling masih mendahului kutipan set mata keseluruhan 7-5.

Dalam acara beregu campuran pula, Chen Tang Jie-Devi Tika Permatasari mengembalikan KB Petaling di atas landasan kemenangan apabila menewaskan Hiripong Sathorn-Liu Lin 3-2 (11-10, 5-11, 11-7, 8-11, 11-10). Ia sekaligus mengukuhkan lagi pungutan set mata keseluruhan KB Petaling untuk berada di depan 10-7.

KB Petaling sekali lagi diberi tentangan sengit dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki. Bagaimanapun, pemain berpengalaman, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, berjaya mengawal semula perlawanan untuk menumpaskan Zulhelmi Zulkiffli 3-2 (11-3, 8-11, 6-11, 11-8, 7-5), sekaligus menghadiahkan kemenangan buat KB Petaling.

Keputusan:

KB Bangsar Hawks kk KB Petaling 9-13

MS2: Zhang Song Ye kk Kenichi Tago 2-3 (6-11, 11-8, 4-11, 11-4, 6-11)
WS: Shen Yabing kk Hera Desiana Rachmawati 0-3 (10-11, 2-11, 4-11)
MD: Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong mn Goh V Shem-Ian Wong Jien Sern 3-1 (11-9, 9-11, 11-10, 11-9)
XD: Hiripong Sathorn-Liu Lin kk Chen Tang Jie-Devi Tika Permatasari 2-3 (10-11, 11-5, 7-11, 11-8, 10-11)
MS1: Zulhelmi Zulkiffli kk Iskandar Zulkarnain Zainuddin 2-3 (3-11, 11-8, 11-6, 8-11, 5-7)