Petaling BC bakal diperkuatkan dengan kehadiran perseorangan lelaki handalan Jepun, Kenichi Tago, bagi menghadapi Kejohanan Purple League 2016 yang akan bermula 12 Disember depan.

Jurulatih Petaling BC, Yap Kim Hock, mengesahkan Tago boleh beraksi bersama pasukannya kerana penggantungan pemain itu hanya melibatkan penyertaannya bersama Jepun.

Sudah mendapatkan maklumat daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kim Hock berharap kehadiran pemain berusia 27 tahun itu mampu menyuntik motivasi dalam kalangan pemain Petaling BC.

"Yang telah berlalu, biarlah berlalu. Yang penting, pemain itu sendiri mempersiapkan dirinya untuk mempamerkan aksi bermutu tinggi dalam Purple League.

"Dia dalam keadaan yang bagus ketika ini, itu lebih penting," ujar Kim Hock.

Dalam pada itu, Tago enggan mengulas lanjut sampai bilakah hukuman penggantungan yang dikenakan Persatuan Badminton Jepun sejak Mei lalu akan berakhir.

Apa yang lebih penting ketika ini, dia boleh beraksi dalam Purple League dan berterima kasih kepada Petaling BC kerana menawarkannya peluang untuk bermain.

"Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai penggantungan, apa yang saya tahu saya boleh bermain dengan Petaling BC dan mahu beri fokus kepada Purple League.

"Terima kasih kepada Malaysia kerana membuka ruang kepada saya untuk bermain dalam kejohanan ini selepas sekian lama tidak turun beraksi dalam mana-mana pertandingan," katanya.