Kejohanan Badminton Remaja Antara Negeri 100 Plus menyaksikan dominasi Pulau Pinang yang mara ke final bagi kategori lelaki dan perempuan B-16 selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Saingan separuh akhir perempuan B-16 menyaksikan pertemuan di antara pilihan ketiga, Pulau Pinang, dan Selangor yang turun selaku pilihan kedua.

Selangor mendahului menerusi pemain perseorangan ,K. Letshana, yang menang 14-21, 21-17, 21-16 ke atas Lee Xin Jee.

Namun, Pulau Pinang bangkit menyamakan kedudukan dalam aksi beregu menerusi Khor Jing Wen-Teoh Lexuan yang mudah menundukkan pasangan Loh Zhi Wei-Lai Zi Ying 21-18, 21-13.

Pulau Pinang mengesahkan slot ke final dengan kemenangan 2-1 selepas perseorangan kedua, Tan Xhing Yi, menang 21-15, 21-16 ke atas Chloe Jennifer Whittington.

Menanti dalam final adalah Sabah yang turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur.

Arena Satu Samin nyata tidak mengecewakan apabila hanya memerlukan 15 minit untuk menundukkan Tai Jo Yi 21-9, 21-7 untuk memberikan mata pertama buat Sabah.

Gandingan Peggy Chin-Velerry Yap pula gagal mengatasi pasangan Wong Kha Moon-Wong Giao Shi 11-21, 14-21, sekali gus memberikan mata penyamaan buat Kuala Lumpur.

Namun, Goh Shuen Tong memastikan Sabah ke final selepas menundukkan Yeoh Zi Xuan 21-18, 23-21.

Satu lagi wakil Pulau Pinang turut ke final dalam kategori lelaki B-16 selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0.

Ong Zhen Yi menyumbang mata pertama selepas menang 21-15, 21-16 ke atas Marcus Low sementara Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng mengesahkan slot final untuk Pulau Pinang selepas menundukkan Wong Chuan Chuy-Hooi Shao Herng 21-13, 21-13.

Sama seperti kategori perempuan, Sabah turut menunggu Pulau Pinang dalam final selepas melepasi cabaran pilihan ketiga, Selangor, 2-0.

Mata Sabah disumbang Lincoln Isaac Shim yang menang 21-11, 21-18 ke atas Muhd Atef Haikal Muhd Taufik manakala Demond Anthony Samin-Naldo Fong menundukkan Muazzam Danish Hanafi-Jimmy Wong 17-21, 21-17, 21-14.